IPOH: Selepas Pas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu juga akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini petang ini berikutan kemelut politik di Perak.
Difahamkan, ADUN Bersatu telah memohon menghadap Sultan Perak bersama ADUN Pas pada pukul 4.30 petang.
Bersatu mempunyai lima ADUN iaitu bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Chenderiang); Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong).
Pas mempunyai tiga ADUN iaitu Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria (Gunung Semanggol); Mohd. Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).
Semalam, Pas membatalkan rancangan menghantar ADUN parti itu mengadap Sultan Perak yang sepatutnya pada pukul 3 petang.
Razman berkata, keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti. – UTUSAN ONLINE