AADK NS rancang program pertanian, keagamaan pulihkan klien - Utusan Malaysia

AADK NS rancang program pertanian, keagamaan pulihkan klien

ISKANDAR Turkee (empat, dari kanan) berbual bersama klien AADK Negeri Sembilan, Abdul Jalil Abdul Manap (tiga, dari kanan) ketika dalam program KP Kongsi Rezeki dan Merisik Khabar di Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan akan mempelbagaikan pelaksanaan program dalam komuniti bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan rawatan dan pemulihan agensi itu kepada klien mereka ataupun sebelum ini dikenali sebagai orang kena pengawasan (OKP).

Pengarah AADK negeri, Iskandar Turkee berkata, antara program dalam komuniti yang dirancang bermula tahun hadapan itu termasuklah program pertanian dan keagamaan.

“Tahun depan kami merancang untuk mempertingkatkan lagi program-program dalam komuniti ini termasuk dengan mewujudkan kawasan pertanian, selain mendapatkan kemahiran, ia tentunya juga bagi membantu meningkatkan pendapatan klien kami supaya mereka boleh berdikari.

“Kami juga merancang untuk klien ini terlibat dalam program-program keagamaan, bagi mereka yang berminat untuk jadi bilal dan imam, kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak lain, surau-surau dan kemudian mereka mendapat pentauliahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program KP Kongsi Rezeki dan Merisik Khabar dekat sini hari ini. Yang hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Shahran Kaat.

Tambah Iskandar, program-program dalam komuniti yang dipelbagaikan disamping mengikut minat klien juga bertujuan memastikan klien kekal pulih dan tidak kembali terjebak dalam aktiviti penagihan dadah.

“Jika klien minat dalam bidang pertanian, kita bantu mereka sehingga berjaya selain dapat mengisi masa dan mengurangkan stigma negatif terhadap mereka.

“Dengan adanya pendekatan seperti ini, klien dapat peluang pekerjaan dan memperbaiki taraf hidup malah mengelakkan mereka terjebak kembali dalam kancah pengagihan dadah,” katanya.

Ujar beliau lagi, ada dalam kalangan klien sudah mempunyai pelbagai kemahiran ketika ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) oleh itu, program-program yang dirancang juga perlu mengambil kira kemahiran yang telah mereka ada tersebut.

Terdapat seramai 2,386 klien di negeri ini yang berdaftar dibawah AADK Negeri Sembilan dari Januari hingga November lepas.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya