8 kertas siasatan terhadap sebuah kilang sarung tangan di Kajang

8 kertas siasatan terhadap sebuah kilang sarung tangan di Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor kini dalam proses melengkapkan penyiasatan dan dijangka membuka lapan kertas siasatan terhadap sebuah kilang sarung tangan di Kajang.

Pemilik premis tersebut bakal berdepan dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Ia susulan satu operasi penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang sarung tangan itu yang turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sendiri pada Isnin lalu.

“Antara kesalahannya ialah tiada Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia,” kata kementerian itu melalui kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan serbuan secara mengejut di kilang terletak di Simpang Balak itu mendapati dua kontena dijadikan kediaman bagi 759 pekerja dari Nepal dan Bangladesh.

Ini menyebabkan buruh asing itu terpaksa tinggal dalam keadaan bersesak-sesak, tiada sistem pengudaraan yang baik, persekitaran agak kotor dan fasiliti asrama disediakan juga daif.

Operasi bersepadu pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Kajang dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lalu.

Kenyataan kementerian itu menambah, kilang itu juga didapati melanggar peraturan di bawah Akta 446 yang melibatkan penyediaan kemudahan tidak memenuhi standard ditetapkan.

“Kementerian ingin menegaskan lagi bahawa penguatkuasaan akan dibuat berterusan dan menyeru majikan yang belum buat permohonan itu agar segera berbuat demikian,” katanya.

Ini juga bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap mereka malah Saravanan menekankan tindakan proaktif pihak kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh.

Selain itu, ia turut melihat pematuhan pemilik kilang terhadap prosedur operasi standard bagi kekang wabak Covid-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Operasi turut melibatkan pasukan Task Force Pematuhan Daerah Hulu Langat yang meliputi pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya