GEORGETOWN: Seramai 700 penduduk di dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Flat Desa Bestari dan Flat Persiaran Paya Terubong di sini, selesai menjalani ujian saringan Covid-19.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Datin Dr. Azizah Ab Manan berkata, ujian saringan itu dijalankan dengan mengambil kira kapasiti makmal ujian Covid-19 di Ipoh, Perak.
“Dengan peningkatan kes-kes Covid di seluruh negara dan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan, ujian saringan perlu dijalankan berdasarkan kapasiti makmal.
“Bagi Pulau Pinang, kuota kita adalah 500 sampel setiap hari dan kita akan jalankan ujian saringan seramai mungkin terutama bagi penduduk di kawasan PKPD,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima sumbangan untuk petugas barisan hadapan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo di kawasan PKPD Flat Desa Bestari, di sini semalam.
PKPD dilaksanakan membabitkan dua lokaliti zon merah iaitu flat-flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban. Kedua-dua penguatkuasaan adalah bermula 7 Disember sehingga 20 Disember.
PKPD di 13 blok flat di Persiaran Paya Terubong melibatkan 10,000 penduduk manakala sebanyak 2,300 penduduk terlibat di Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban.
Menurut Dr. Azizah, pasukan KKM mempunyai unit penilaian risiko yang akan menilai blok-blok kediaman berisiko tinggi yang dijangka mempunyai kes-kes Covid-19.
“Tumpuan ujian saringan akan diberikan kepada penduduk di blok kediaman di kawasan PKPD yang telah dinilai berisiko tinggi.
“Pada minggu awal PKPD ini, pasukan KKM akan menjalankan ujian saringan kepada mereka yang bekerja terlebih dahulu dan kemudian kita akan tumpu kepada suri rumah dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan kepada mereka yang mempunyai pekerjaan perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan mereka menjalani rawatan serta dikuarantin sehingga sembuh sekiranya positif Covid-19 agar mereka boleh kembali bekerja selepas PKPD tamat.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Kesihatan negeri juga telah berhubung dengan majikan-majikan terutama di sektor perkilangan agar mereka memberi kerjasama dengan memberi maklumat mengenai pekerja warga asing yang tinggal di kawasan PKPD bagi menjalani ujian saringan Covid-19.
“Ujian saringan ini penting agar rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan kerana kita dapati ada unit-unit kediaman di kawasan PKPD telah kosong,” katanya.-UTUSAN ONLINE