GEORGETOWN: Pulau Pinang telah mewartakan seluas 6,288.3 hektar kawasan tadahan air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) 1998, Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan) yang meliputi 3,565 hektar Hutan Simpanan Kekal sejak Disember 2004.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu meliputi 70 peratus hutan simpanan kekal di negeri ini yang telah diwartakan.
Bagaimanapun, menurut beliau, pewartaan hutan itu dibuat di bawah enakmen kerajaan negeri, bukannya di bawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 [akta 313].
“Pada 2 Disember 2004, kerajaan negeri telah mewartakan seluas 6,288.3 hektar kawasan tadahan air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) 1998, Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan) bagi memastikan sumber bekalan air di Pulau Pinang terpelihara.
“Pewartaan kawasan tadahan ini meliputi seluas 3,565 hektar Hutan Simpanan Kekal iaitu 70 peratus hutan simpanan kekal di Pulau Pinang telah dikhususkan untuk tujuan perlindungan kawasan hutan tadahan air sejak 2004,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Pulau Pinang segera mewartakan kawasan tadahan air seluas 3,399 hektar bagi menjamin sumber bekalan pada masa depan.
Menurutnya, negeri lain di Semenanjung sudah mengambil tindakan proaktif dalam mewartakan kawasan tadahan air masing-masing.
Kepada gesaan Tuan Ibrahim itu, Kon Yeow berkata, perkara tersebut timbul kerana usaha pewartaan dibuat di bawah perundangan yang berbeza.
Namun, jelas beliau, kedua-dua perundangan pewartaan itu mempunyai tujuan sama iaitu mewujudkan dan memelihara kawasan sebagai kawasan tadahan air untuk menjamin bekalan air. – UTUSAN