61 menara telekomunikasi dibina di perkampungan orang asli - Utusan Malaysia

61 menara telekomunikasi dibina di perkampungan orang asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 61 menara telekomunikasi dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sehingga Oktober lalu sekali gus mampu memanfaatkan lebih ramai masyarakat orang asli di seluruh negara. 

SKMM dalam kenyataan berkata, pada masa ini terdapat lapan lagi menara sedang dilaksana dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama tahun depan. 

Katanya, pembinaan menara itu termasuk di Pos Lemoi dan Pos Kg. Telimau di Cameron  Highlands, Pahang. 

“Sejumlah 11 menara telekomunikasi di sepanjang laluan Jalan Sungai  Koyan sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands juga dinaik taraf  daripada menggunakan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) kepada rangkaian gentian optik untuk liputan 4G.

“Sembilan daripadanya, termasuk di dalam kawasan Pos Menson siap dibina  pada Oktober 2019 dan selesai dinaik taraf kepada liputan 4G  pada 5 November lalu,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, pihak SKMM turut bertemu dengan ketua masyarakat orang asli di  Pos Menson semalam untuk mendapat maklum balas kualiti pengalaman selepas  penambahbaikan serta keperluan lain bagi kampung berdekatan. 

Katanya, penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan kepada 4G bagi  kawasan Cameron Highlands giat ditingkatkan seperti dirancangkan dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Jelasnya, usaha menaik taraf rangkaian telekomunikasi itu akan membantu masyarakat orang asli di Pos Menson serta kampung  sekeliling menikmati capaian Internet yang lebih baik. 

“Ia sekali gus dapat  menyokong keperluan norma baharu yang mana liputan dan rangkaian  2G dan 3G terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya tidak  mampu menampung keperluan permintaan perkhidmatan komunikasi  yang semakin meningkat.  

“Dengan terbinanya menara-menara telekomunikasi itu, masyarakat  orang asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar. 

“Mereka boleh mendapat  maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan  dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti  mereka yang tinggal di bandar,” katanya. 

SKMM turut memberitahu, dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu, sejumlah 85 menara baharu  dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 perkampungan orang asli di  seluruh negara bermula pada suku kedua tahun depan melalui pelan JENDELA  fasa 1. 

Sebagai badan yang bertanggungjawab, SKMM akan memastikan  segala perancangan yang diatur dalam pelan JENDELA akan berjaya merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar, pinggir  bandar dan luar bandar di negara ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya