MELAKA: Kemasukan kenderaan ke negeri ini merekodkan peningkatan mendadak antara 50,000 hingga 60,000 buah selepas pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan kerajaan sejak 7 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 60 peratus kemasukan kenderaan, sekali gus trafik di Melaka kembali kepada kesesakan seperti biasa terutamanya pada hujung minggu.
Sehubungan itu, bagi melancarkan trafik terutama pada cuti umum sempena sambutan Krismas, JSPT telah menubuhkan pasukan Op Lancar yang akan mengawal lalu lintas di kawasan tumpuan bermula 23 sehingga 26 Disember ini.
“Peratusan kenderaan masuk ke Melaka kembali kepada jumlah normal iaitu antara 50,000 sehingga 60,000 buah bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Oleh itu, kita telah menyediakan pasukan Op Lancar untuk memastikan trafik di kawasan-kawasan pintu masuk dapat bergerak dengan lancar terutama bagi mengawal lalu lintas ketika cuti perayaan dan sambutan tahun baharu nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Op Lancar, Hasan Basri memberitahu, pasukan itu akan bertugas di kawasan tumpuan di Daerah Melaka Tengah termasuk dari Plaza Tol Ayer Keroh sehingga laluan di hadapan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
Tambahnya, selain menjaga kelancaran trafik, pasukan tersebut juga akan membuat sekatan di plaza tol berkenaan bagi memeriksa kepatuhan orang ramai mengenai keselamatan kenderaan yang dibawa masing-masing.
“Orang ramai perlu ambil maklum bahawa di Melaka pasukan kami tegas dalam memastikan semua kenderaan yang masuk tidak mempunyai atau membawa masalah terutama melibatkan kumpulan bermotosikal yang telah mengubah suai jentera.
“Kita juga menasihatkan pengunjung yang masuk ke negeri ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama ketika berada di kawasan pantai kerana pasukan kita sentiasa memantau pematuhan tersebut,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Hasan Basri berkata, polis negeri melancarkan kempen ‘Jom Bayar Saman’ selama dua minggu bermula esok dengan menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus.
Ujarnya, pembayaran di semua kaunter Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) itu turut menawarkan beberapa hadiah menarik termasuk sebuah kereta jenis Proton X70 bagi pembayar bertuah yang membuat bayaran menggunakan kad debit dengan kerjasama Payments Networks Malaysia. -UTUSAN ONLINE