Lima termasuk Timbalan Ketua Pengarah, Setiausaha Bahagian sebuah jabatan kerajaan ditahan

Lima termasuk Timbalan Ketua Pengarah, Setiausaha Bahagian sebuah jabatan kerajaan ditahan

LIMA suspek yang didakwa terlibat skandal rasuah berkaitan Minyak Gred Berat dibawa SPRM untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima termasuk Timbalan Ketua Pengarah, seorang Setiausaha Bahagian dan tiga pengarah syarikat perkapalan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan Malaysia.

Kelima-lima berusia antara 35 hingga 54 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya malam semalam.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai kanan kerajaan ini didapati telah menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan.

Tambah sumber, Ketua Pengarah Jabatan terbabit sendiri tidak mengetahui berhubung pengeluaran surat pengecualian ini sedangkan beliau sebelum ini telah mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom dalam mengangkut minyak Gred Berat di Perairan Malaysia.

“Terdapat banyak rungutan dan aduan yang diterima daripada pengusaha-pengusaha kapal lain yang telahpun bertukar kepada Double Hull, Double Bottom.

“Ini selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengelakkan kebocoran dan pencemaran laut kesan dari tumpahan minyak oleh kapal jenis Single Hull,” katanya di sini hari ini.

Kelima-lima suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Kes disiasat dibawah seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN