JELI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan mendedahkan kira-kira 43,000 rakyat di negeri ini yang bekerja sendiri tidak membuat caruman dengan agensi tersebut.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, perkara itu berpunca daripada sikap ambil mudah sedangkan pelbagai manfaat bakal dinikmati pencarum jika mereka ditimpa musibah pada masa depan.
Menurutnya, setakat ini terdapat 20 bidang pekerjaan yang boleh melayakkan individu membuat caruman di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS).
“Di bawah SPS, Perkeso tawarkan caruman serendah RM13.10 untuk setiap bulan yang membawa manfaat besar kepada pencarum,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Long di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan bayaran Faedah Mengurusan Mayat kepada waris bekas kakitangan Utusan Malaysia, Allahyarham Siti Nor Hanizah Mohd Noordin, 32, yang meninggal dunia pada 28 Oktober lalu akibat kemalangan jalan raya.
Perkeso Kelantan turut menyerahkan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM813.75 setiap bulan kepada ibu arwah, Che Jabariah Abbas dan bapa, Mohd. Nordin Isa seumur hidup mereka.
Adik arwah Nor Syahila Nordin, 20, turut menerima faedah pencen penakat berjumlah RM813.75 setiap bulan sehingga berusia 21 tahun. – UTUSAN ONLINE