4 kluster di Kuantan tiada kaitan Kluster Genting - Utusan Malaysia

4 kluster di Kuantan tiada kaitan Kluster Genting

SELAIN kawalan 24 jam, kawat duri juga dipasang di sekeliling PKRC Sukpa di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Empat kluster pesakit Covid-19 yang aktif di daerah ini iaitu Atabara, Inten, Kuala dan Kristal tiada kaitan dengan kluster Genting. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam kenyataannya berkata, empat kluster yang membabitkan kawasan di Indera Mahkota, pusat bandar Kuantan dan sekitar Sungai Karang Darat itu telah berkembang sebelum pembukaan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Jelas jawatankuasa itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan telah mengenal pasti 763 orang kontak rapat melibatkan 258 buah rumah atau premis daripada keempat-empat kluster dan bilangan itu dijangka meningkat.

Kluster Kuala jelasnya, berpunca daripada pekerja restoran yang mempunyai beberapa cawangan di daerah ini yang mana modus pengendalian restoran itu adalah secara dapur berpusat dan makanan akan diedarkan ke cawangannya.

“Berdasarkan analisa, kluster ini (Kuala) berisiko tinggi untuk penularan dalam komuniti. Bagi empat kluster berkenaan, masih terdapat kes-kes positif yang dikesan daripada kluster ini.

“Ini menunjukkan penularan daripada kluster ini masih aktif dalam komuniti, jadi semua pihak diminta menjaga diri dan keluarga sendiri supaya tidak menjadikan kluster-kluster ini berkembang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jawatankuasa berkenaan turut menyatakan bahawa pada ketika ini terdapat 132 pesakit Covid-19 dari kluster Genting dan 10 pesakit dari kluster Kuala ditempatkan di PKRC Sukpa. 

“Sepanjang lima hari pengoperasian PKRC, tiada insiden cubaan melarikan diri atau sebagainya seperti yang dikhuatiri oleh orang ramai sebelum ini. Keadaan terkawal dan keselamatan peringkat tertinggi dilaksanakan di PKRC.

“Antaranya ialah kawalan keselamatan 24 jam oleh polis dan Pasukan Sahabat dan  penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dalam dewan untuk memantau situasi di sana.

“Orang ramai dinasihatkan tidak bimbang berkenaan keselamatan dan sehingga kini tiada sebarang penularan dalam komuniti yang berpunca daripada kluster Genting,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya