296 individu terlibat ah long ditahan Polis Johor sepanjang 2020 - Utusan Malaysia

296 individu terlibat ah long ditahan Polis Johor sepanjang 2020

Ayob Khan Mydin Pitchay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Seramai 296 individu berjaya ditahan Polis Johor kerana terlibat dalam kes pinjaman wang tanpa lesen atau ah long sepanjang tahun ini termasuk berjaya menumpaskan sembilan sindiket yang terbabit dalam kegiatan tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sejumlah 338 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kejadian jenayah yang dilakukan kumpulan itu termasuk 217 kes di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.

“Sepanjang tahun ini sahaja, Polis Johor telah berjaya menumpaskan sembilan sindiket ah long yang juga membabitkan seorang wanita warga Vietnam dengan mereka berumur antara 23 hingga 46 tahun. Mereka telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Semua suspek yang ditangkap terlibat dalam kegiatan ah long iaitu mengiklankan dan mempromosikan pinjaman tanpa lesen serta melakukan pelbagai perbuatan khianat seperti simbah cat, khianat dengan api dan ugut jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menambah, seramai 31 anggota kongsi gelap telah ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 bermula 2018 sehingga kini dalam usaha membanteras kegiatan gangsterim di negeri ini.

Katanya, tahun ini sahaja mencatatkan jumlah tertinggi tangkapan iaitu 16 individu berbanding lapan pada 2018 dan sembilan orang pada 2019.

“Polis Johor sentiasa memandang serius berkaitan kes-kes melibatkan ah long dan kumpulan kongsi gelap. Ini terbukti dengan tindakan yang telah diambil sepanjang tahun ini.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya