Mahkamah benarkan 23 ahli geng 'Rusa Boy' bertemu keluarga - Utusan Malaysia

Mahkamah benarkan 23 ahli geng ‘Rusa Boy’ bertemu keluarga

SERAMAI 23 ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dibawa ke Mahkamah Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Mahkamah Seksyen di sini membenarkan 23 ahli kumpulan jenayah terancang diketuai ‘Rusa Boy’ yang terlibat aktiviti pengedaran dadah, bertemu ahli keluarga selama tiga minit selepas 42 hari dilarang berbuat demikian atas faktor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Hakim Azman Abu Hassan memutuskan demikian selepas mendengar permohonan peguam yang mewakili tahanan tersebut, Datuk K. Kumaraendran, Burhanudeen Abdul Wahid dan Rafael Abdullah yang membuat permohonan itu di mahkamah.

Dalam keputusannya, Azman berkata, semua tahanan dibenarkan untuk bertemu dengan seorang ahli keluarga sahaja secara bergilir-gilir di dalam bilik yang disediakan di mahkamah selama tiga minit semalam dengan kawalan ketat polis.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farhan Aliff Ahmad memaklumkan kepada mahkamah iaitu seorang lagi tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah kerana berada di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak yang kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Prosiding berkenaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Low Qin Hui manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Azman juga memerintahkan untuk mengemukakan laporan perubatan menyeluruh bagi kesemua 24 tertuduh yang berumur antara 20 hingga 58 tahun itu dibuat daripada doktor hospital awam (kerajaan) pada 20 Disember ini.

Azman berkata, ini bertujuan membolehkan mahkamah meneliti tahap kesihatan mereka melalui laporan penuh perubatan itu sebelum sebutan semula kes pada 31 Disember nanti.

Terdahulu, sebutan pertama kes itu berlangsung pada 22 Oktober lepas dan mengikut pertuduhan kesemua lelaki dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sungai Petani antara 1 Januari tahun lepas hingga 26 September lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 130(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN