KANGAR : Kerajaan negeri menjangkakan 2021 adalah tahun yang cukup mencabar terutama dalam usaha negara membendung penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dan semua lapisan masyarakat yang terjejas pendapatan.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, meskipun berdepan cabaran itu, namun, prestasi kutipan hasil kerajaan negeri masih pada tahap memberangsangkan dengan pihaknya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah tanpa menjejaskan keperluan rakyat.
Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri telah mengatur semula strategi dan langkah pembangunan sosio ekonomi bersesuaian dengan situasi semasa.
“Antara langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19 adalah dengan pemberian diskaun atas sewaan gerai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) selain penangguhan pembayaran (moratorium) sewa-beli rumah RPA (Rancangan Perumahan Awam) melibatkan 305 keluarga selama enam bulan.
“Selain itu, pengecualian sewaan gerai Bahagian Perumahan (BP) dan Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) selama enam bulan, pengecualian sewaan kepada 778 penyewa rumah PPR dan 142 penyewa di Rancangan Perumahan Kuala Perlis selama enam bulan dan pemberian diskaun atas sewaan gerai di bawah MAIPs selama tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perlis 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Tema Belanjawan Perlis 2021 adalah ‘Meningkatkan Keberkesanan, Merangsang Pembangunan, Membela Kebajikan Demi Keharmonian’.
Tambah Azlan, kerajaan negeri akan meneruskan program peningkatan hasil cukai dengan mengambil kira situasi semasa.
Sehubungan itu, bagi tahun 2021, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil berjumlah RM108.17 juta dengan anggaran hasil utama seperti hasil cukai (RM21.28 juta), hasil bukan cukai (RM21.09 juta) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM65.80 juta.
“Anggaran hasil ini berdasarkan keupayaan kerajaan negeri mengutip hasil pada tahun 2020 di mana beberapa aktiviti seperti turun padang dan pelbagai kempen terpaksa ditangguhkan akibat situasi semasa Covid-19.
“Pada tahun 2021, yang merupakan fasa pasca Covid-19 dengan kerajaan negeri menjangkakan tiada peningkatan drastik dalam kutipan hasil negeri,” katanya.
Belanjawan Perlis 2021 melibatkan peruntukan kira-kira RM309.51 juta iaitu peruntukan pembangunan sebanyak RM133,82 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM175,69 juta iaitu peningkatan sebanyak 3.07 peratus berbanding tahun 2020.
Ia membabitkan empat teras utama iaitu Pelaksanaan Pembangunan; Kebajikan Masyarakat; Masyarakat Harmoni dan Keberkesanan Pentadbiran. -UTUSAN ONLINE