2 kucing British Shorthair import dari Ukraine ditahan - Utusan Malaysia

2 kucing British Shorthair import dari Ukraine ditahan

DUA ekor kucing jenis British Shorthair yang diimport dari Ukraine ditahan pihak berkuasa Maqis di Kompleks Kargo KLIA, Sepang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dua ekor kucing yang diimport dari Ukraine ditahan pihak berkuasa di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, di sini, kelmarin.

Rampasan itu dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) selepas mengesan kesalahan nombor mikrocip pada dua ekor kucing jenis British Shorthair terbabit. 

Pengarah Maqis Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, daripada pemeriksaan lanjut ke atas kucing tersebut mendapati, nombor mikrocip yang terdapat pada badan kucing itu tidak sama dengan dokumen permit import yang diisytiharkan.

“Kesalahan mengimport haiwan kesayangan dengan mengisytiharkan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. 

“Sekiranya didapati melakukan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini. 

Tarmisal berkata, pihak Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport. 

“Pemeriksaan berterusan itu dilakukan bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya