PUTRAJAYA: Pahang menduduki carta antara tiga negeri yang merekodkan kes harian baharu tertinggi hari ini, dengan 288 kes selepas Selangor dan Kuala Lumpur.
Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang merekodkan 282 kes.
Manakala Selangor terus merekodkan negeri yang paling tinggi kes harian baharu iaitu 747 diikuti Kuala Lumpur sebanyak 360 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia terus mencatatkan kes positif baharu sebanyak 1,925 kes yang menjadikan jumlah kes positif negara sebanyak 108,615 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 21,443 kes.
“Sehingga kini, terdapat 117 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan dan dua kematian.
“Kita juga mengesan Sembilan kluster baharu termasuk empat membabitkan kluster tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes sembuh adalah sebanyak 1,123 kes dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 86,715 kes. – UTUSAN