1,880 petugas kesihatan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

1,880 petugas kesihatan positif Covid-19

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1,880 petugas kesihatan dikesan dijangkiti Covid-19 selepas melalui saringan yang dilakukan sehingga semalam. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum tentang perkembangan terbaharu ini apabila terdapat peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan terutamanya di fasiliti kesihatan di dalam zon merah dan kawasan berisiko tinggi. 

Katanya, berdasarkan siasatan, majoriti punca jangkitan adalah jangkitan antara petugas kesihatan dan juga daripada komuniti dengan masing-masing merekodkan 33 peratus. 

“Sehingga 15 Disember lalu, seramai 52,593 petugas kesihatan pelbagai kategori disaring dan diambil ujian pengesanan Covid-19, antaranya, petugas yang bergejala, petugas yang kembali dari bertugas sebagai pasukan mobilisasi di Sabah dan petugas yang berisiko tinggi seperti kontak kepada kes positif sama ada di tempat kerja, di rumah atau di tempat awam. 

“Selain itu, petugas yang berada di fasiliti yang berlakunya kluster, petugas yang mengendali kes Covid-19 dan didapati berisiko tinggi hasil dari penilaian risiko yang dilakukan dan program survelan dalam kalangan petugas secara berkala juga di fasiliti tertentu terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Noor Hisham berkata, pihak kementerian sentiasa menekankan kepentingan mematuhi langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan semasa bertugas di fasiliti kesihatan dan terutama sekali ketika berada dalam komuniti. 

Katanya, semua petugas kesihatan perlu mengamalkan budaya normal baharu semasa bekerja seperti amalan menjaga kebersihan tangan, sentiasa memakai pelitup muka semasa berada di dalam fasiliti kesihatan, menjaga etika batuk, menjaga penjarakan fizikal terutamanya semasa berada di ruang guna sama seperti pantri, bilik rehat, bilik solat, kaunter, lif, bilik persalinan dan lain-lain;

“Mereka juga perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai dan membuat kawalan masuk iaitu saringan suhu badan petugas dan deklarasi gejala di pintu-pintu masuk fasiliti; dan menjalankan pemantauan harian gejala semasa bertugas.

“Semua petugas Barisan hadapan diseru mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan agar jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas dan fasiliti kesihatan dapat dihindari,” katanya. 

Tambahnya, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan petugas kesihatan dengan sentiasa memberikan maklumat yang benar kepada petugas kesihatan agar penilaian risiko yang tepat dapat dilaksanakan. 

“Penilaian, risiko yang tepat ini amat penting kerana ianya mampu melindungi petugas-petugas kesihatan seterusnya pesakit-pesakit lain daripada dijangkiti Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya