170 individu ditahan ingkar SOP - Utusan Malaysia

170 individu ditahan ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 170 individu ditahan pasukan Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara semalam atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemuanya telah dikompaun dan kes tertinggi ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

“Ia melibatkan 96 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (50), gagal mematuhi arahan jarak fizikal (17), aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain (1),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ujarnya, 2,916 pasukan melibatkan 13,275 anggota membuat pemantauan di 6,012 pasar raya, 5,245 restoran, 1,245 kilang, 1,673 pasar, 3,112 tempat ibadah dan 1,345 taman riadah.

Sejumlah 34 pendatang asing tanpa izin juga ditahan melalui Operasi Benteng oleh pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 118 sekatan jalan raya turut dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara kita dapat dikawal ketat oleh pelbagai agensi sepanjang masa,” jelas Ismail Sabri.

Orang ramai tegasnya, diminta menghubungi talian hotline National Task Force iaitu 011-6251 1223 untuk menyalurkan maklumat bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Dalam pada itu, 47 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melibatkan 47 jentera bomba dengan 311 anggota jabatan tersebut.

Menyentuh kuarantin wajib kata beliau, sehingga kini seramai 8,456 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu manakala 532 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Semalam, seramai 684 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara kita dan kesemuanya dikuarantin di 89 stesen ditetapkan di seluruh Malaysia,” kata Ismail Sabri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya