JERANTUT: Banjir mula melanda daerah ini apabila 16 rumah di Felda Kota Gelanggi 1 di sini dinaiki air.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Abdul Ghani berkata, paras air mula naik ke rumah penduduk dan jalan di sekitar tanah rancangan itu sejak awal pagi tadi.
“Setakat ini belum ada mangsa dipindahkan, namun semua penduduk di kawasan rendah diarah berjaga-jaga dan bersedia membawa dokumen penting sekiranya perlu ke pusat pemindahan.
“Kawasan ini selalu dilanda banjir sebab penempatan mereka berhampiran sungai yang sering melimpah selepas hujan lebat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Abdul Rahman, paras air dijangka menurun sekiranya tidak berlaku hujan lebat hari ini.
Sementara itu, jalan raya utama Felda Kota Gelanggi turut dinaiki air sejak awal pagi yang hanya boleh dilalui kenderaan berat. – UTUSAN ONLINE