16 individu ditangkap main judi  - Utusan Malaysia

16 individu ditangkap main judi 

ANTARA peralatan bermain judi dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis di sebuah kedai makan di Kampung Baru Sungai Nipah, Chuah, Port Dickson semalam.-GAMBAR Ihsan Polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 16 individu termasuk tiga wanita ditangkap atas kesalahan bermain judi dalam bangunan dan menjalankan kegiatan judi loteri awam tanpa lesen dalam operasi yang dijalankan pasukan anggota polis di Kampung Baru Sungai Nipah, Chuah, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat risikan, kira-kira pukul 2.30 petang sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BJSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat serbuan di sebuah kedai makan di kampung tersebut.

Tambahnya, apabila sampai, pasukan serbuan tersebut telah memeriksa dua buah kedai berasingan dan melihat terdapat 13 orang lelaki dan tiga orang wanita sedang leka bermain judi di atas empat buah meja.

Kemudian katanya, pasukan serbuan juga  telah membuat pemeriksaan di bahagian kaunter kedai dan menjumpai peralatan disyaki untuk menjalankan kegiatan judi loteri awam tanpa lesen.

“Turut dirampas semasa serbuan adalah empat buah meja, 16 buah kerusi plastik berwarna merah, 336 buah batu Gin Rummy, 154 buah batu mahjong, lapan buah dadu, lapan helai kertas putih, sebuah buah dadu mahjong, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,390.

“Hasil siasatan lanjut mendapati judi yang dimainkan adalah jenis ‘Gin Rummy’, ‘Mahjong’ dan ‘Pai Kow’. Suspek yang ditangkap berumur dalam lingkungan 37 sehingga 82 tahun dan merupakan penduduk tempatan, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Aidi Sham, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 kerana bemain judi dalam bangunan dan Seksyen 4A (a) ARJT 1953 kerana menjalankan loteri awam tanpa lesen.

“Untuk kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya manakala kesalahan kedua boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih dua RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN