PORT DICKSON: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan terus berusaha menangani masalah penagihan dadah di 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di seluruh negara.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, daripada jumlah KBT itu, 136 kawasan terletak di Semenanjung Malaysia manakala 12 kawasan di Sabah dan tujuh di Sarawak.
“Daripada jumlah itu, 24 kawasan merupakan projek perumahan Rakyat, 23 kawasan perkampungan nelayan, 10 kawasan Felda dan 98 kawasan bercampur.
“AADK menggariskan tiga objektif yang dijadikan sebagai indikator menghijaukan kawasan merah adalah seperti mengurangkan penagih baharu yang dikesan selain elain meningkatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan serta meningkatkan kerjasama dan penglibatan komuniti dan pelbagai agensi pelaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Penilaian Program Inisiatif Bersepadu Bagi Menangani Masalah Penagihan Dadah, Substam dan Pelencongan Sosial di dekat sini.
Tambah Zulkifli, AADK juga sebelum ini telah menjalankan projek rintis di 12 buah kawasan yang dipilih untuk membangunkan model-model yang sesuai dalam menangani masalah dadah.
“Eksperimen di 12 kawasan itu telah berjaya memberi keputusan dan dapat mendedahkan kekuatan dan kekurangan yang perlu diperbaiki. Daripada 12 kawasan yang bermula dengan kawasan merah semuanya telah bertukar menjadi hijau kecuali Petaling Jaya (Selangor), Pulau Langkawi (Kedah) dan Penglalan Chepa (Kelantan),” katanya.
Jelasnya lagi, terdapat beberapa faktor menyumbang kepada hasil yang positif dalam program menangani masalah dadah antaranya komitmen tinggi dengan tindakan bersepadu oleh kebanyakan agensi-agensi kerajaan di bawah Dasar Dadah Negara. -UTUSAN ONLINE