KANGAR : Dua buah tapak pembinaan di Utan Aji dan Jejawi di sini menerima keseluruhan 15 notis berikutan kegagalan untuk mematuhi peraturan pembinaan termasuk notis larangan serta menyita serta merta perancah yang digunakan kerana keadaan komponen yang sudah rosak dan patah.
Tindakan tersebut diambil susulan operasi bersepadu Op Bina yang dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kesihatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Majlis Perbandaran Majlis (MPK) hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi JKKP, Mohd. Azrul Abd Malik berkata, empat notis dikeluarkan pihaknya termasuk menyita dan mengarahkan pelbagai aktiviti kerja berisiko tinggi di kedua-dua tapak binaan dihentikan serta-merta berikutan keadaan komponen perancah yang rosak, patah dan berkarat.
Katanya, pekerja juga didapati tidak memakai abah-abah keselamatan (safety harness) ketika melakukan kerja pada ketinggian yang melebihi 10 kaki yang berhadapan dengan risiko untuk jatuh dari tempat tinggi.
“Kami dapati kebanyakan majikan mengambil mudah perihal perancah ini, berkemungkinan kerana kerja-kerja pembinaan yang hanya bersifat sementara. Perancah ini juga didapati dipasang mengikut tidak reka bentuk dan tidak ada pemeriksaan keselamatan.
“Kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya di sini hari ini.
Operasi selama empat jam tersebut turut dihadiri, Pengarah JTK negeri, Iskandar Jasa dan Pengarah CIDB negeri, Rosli Zainon.
Sementara itu, Iskandar memberitahu, pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi tujuh kesalahan yang dikenal pasti berkaitan keadaan perumahan dan penginapan pekerja.
Katanya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 24(b) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Dalam pada itu, CIDB turut mengeluarkan notis N2/2015 manakala Jabatan Kesihatan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975. -UTUSAN ONLINE