13 PATI Indonesia bersembunyi dikesan - Utusan Malaysia

13 PATI Indonesia bersembunyi dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang cuba memasuki negeri ini ditahan dalam Op Benteng setelah kehadiran mereka dikesan melalui risikan pasukan pertahanan di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran warga asing itu dikesan hasil intipan ketika menghampiri kawasan pesisir pantai dari Tanjung Penyusop hingga ke Kampung Simon, Teluk Ramunia.

“Pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Drone dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengepung kawasan berkenaan.

“Pada pukul 1.40 pagi, hasil serbuan dilakukan telah berjaya menahan 13 PATI warga Indonesia yang bersembunyi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom. Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan empat perempuan, berusia sekitar 21 hingga 47 tahun dan dipercayai baharu masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN