PUTRAJAYA: Seramai 122 individu ditahan pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka telah dikompaun dengan kes paling tinggi ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 52 individu.
“Turut ditahan 39 individu kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri diikuti 29 tidak mematuhi penjarakkan fizikal (29) dan lain-lain (2),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, 2,991 pasukan meliputi 13,222 anggota turut memantau 4,160 restoran, 3,183 pasar raya, 1,123 kilang, 1,377 pasar awam, 2,747 tempat ibadah dan 1,110 taman riadah.
Sejumlah 63 pendatang asing tanpa izin (PATI) juga ditahan melalui Operasi Benteng oleh pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan sekat penularan wabak Covid-19.
“Empat buah kenderaan darat juga dirampas manakala sebanyak 112 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.
Dalam pada itu, 29 operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan 715 anggota serta 23 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Menyentuh kuarantin wajib kata beliau, sehingga kini seramai 483 individu pulang ke tanah air semalam sedang jalani proses itu, manakala 535 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Sejumlah 81,912 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 77 buah hotel serta 16 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Sementara itu, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di 14 tapak binaan semalam turut mendapati kesemuanya adalah mematuhi peraturan SOP ditetapkan. -UTUSAN ONLINE