MARANG: Hasrat peniaga dari Kampung Tasik Padang Kabar di sini untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai membolehkan kira-kira 1,200 pek makanan berharga RM1 di gerainya laris dijual dalam tempoh kira-kira tiga jam.
Nurul Hidayu Zulkifli, 34, berkata, seawal pukul 6.50 pagi pelanggan sudah menyerbu gerainya yang menjual keseluruhan 55 jenis menu termasuk aneka kuih-muih tradisional dan moden di samping pelbagai nasi serta hidangan sarapan pagi ala barat termasuk sanwic dan chicken chop.
Katanya, idea untuk menjual makanan pada harga murah itu bertujuan meringankan beban orang ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan dan isu kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, sejak beroperasi pada 14 Oktober lalu, pelanggannya bukan sekadar penduduk setempat malah ada juga dari daerah lain yang sanggup datang termasuk Kuala Terengganu di samping Hulu Terengganu dan Dungun.
“Pada mulanya, saya hanya menjual tiga jenis nasi dan pada hari kedua berniaga, ada seorang pelanggan menyumbang RM20 setiap hari selama dua minggu dengan meminta saya menghadiahkan makanan percuma kepada orang ramai yang membeli.
“Secara tidak langsung inisiatif itu menarik lebih ramai pelanggan dengan sambutan yang diterima di luar jangkaan hingga ada yang meminta saya menambah kuantiti di samping menu-menu lain seperti kuih dan roti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Nurul Hidayu, kesemua 55 menu yang dijual di gerainya itu dihasilkan sendiri oleh adik-beradik, ibu saudara dan sepupu sekali gus memberi punca rezeki kepada ahli keluarga yang kebanyakannya surirumah.
Katanya, jumlah pek makanan yang disediakan setiap hari ialah antara 800 ke 1,200 dengan waktu puncak gerainya diserbu pelanggan lazimnya antara pukul 7 hingga 8 pagi manakala sekitar pukul 9 pagi pula semua pek makanan sudah habis dijual.
“Sebagai ibu kepada enam anak saya faham cabaran kewangan yang dihadapi ibu bapa untuk membeli makanan di luar jadi soal keuntungan bukan keutamaan, sebaliknya keberkatan yang diperolehi kerana saya seronok melihat anak-anak dapat mengambil makanan digemari mereka dan biasanya memang saya akan menghadiahkan satu pek makanan kepada pelanggan.
“Untuk perancangan akan datang kita bakal menambah lagi menu makanan di samping berhasrat membuka cawangan di Kuala Terengganu pada awal tahun depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE