1,160 petugas pantau pengguna Lebuh raya Karak, Pantai Timur

1,160 petugas pantau pengguna Lebuh raya Karak, Pantai Timur

PEMANDANGAN laluan menghala ke Terowong Genting Sempah (arah timur) di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sdn. Bhd. menyediakan sejumlah 1,160 petugas bagi membantu pengguna tiga lebuh raya di bawah kendalian syarikat berkenaan.

Ia adalah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2). 

Bantuan membabitkan anggota ronda, pasukan penyelenggaraan serta pusat kawalan trafik sewaktu pengguna lebuh raya berkenaan dalam perjalanan ke negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan pada cuti akhir tahun ini.

Bagi KLK dan LPT1, ia dikendalikan oleh ANIH Berhad, manakala LPT2 dikendalikan oleh LPT 2 Sdn. Bhd.

Ketiga-tiga komponen lebuh raya tersebut menghubungkan Lembah Klang melalui Gombak ke Pantai Timur seperti Gambang dan Kuantan di Pahang dan Kuala Terengganu di Terengganu.

Berikutan musim tengkujuh yang melanda dan menyebabkan banjir di beberapa tempat terutamanya di jalan pesisir negeri dan persekutuan, maka lebuh raya E8 adalah pilihan yang terbaik untuk pelanggan tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat. 

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pengguna dijamin menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa. 

“Selain itu, turut disediakan kemudahan seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24 jam di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH sepanjang 234 kilometer,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd., Zakaria Ahmad Zabidi pula berkata, lebuh raya LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan lima R&R serta empat hentian sebelah. 

Ia katanya, memudahkan pelanggan berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka dan jika berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24 jam sehari.

“Musim tengkujuh yang melanda negara di beberapa negeri di Pantai Timur juga kerap menyebabkan laluan pesisir negeri atau persekutuan mengalami banjir.

“Kami menyarankan pelanggan yang terjejas sewaktu musim tengkujuh supaya menggunakan LPT2 sekiranya laluan pesisir negeri atau persekutuan ditutup atau tenggelam yang berpunca akibat banjir untuk meneruskan perjalanan mereka ke Terengganu, Kuantan ataupun Lembah Klang,” katanya. 

Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan bantuan kecemasan di rangkaian lebuh raya E8, mereka boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 bagi KLK dan LPT1, manakala LPT2 Line di 1-800-88-0220. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya