105 menara telekomunikasi dibina di pedalaman - Utusan Malaysia

105 menara telekomunikasi dibina di pedalaman

ROMANI Wan Salim (kiri) ketika melawat menara telekomunikasi sementara di Kampung Kongsi 14 di Bukit Selambau dalam daerah Kuala Muda hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman di negeri ini dijangka mendapat liputan internet yang lebih baik apabila sebanyak 105 menara telekomunikasi baharu akan dibina sehingga tahun 2022. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, menara telekomunikasi tetap itu akan dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah rancangan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) secara berperingkat dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, pada masa ini, sebanyak 270 kawasan pedalaman di daerah Padang Terap, Baling, Sik dan Kuala Muda dikesan masih tidak mendapat capaian internet yang baik.

“Sebanyak 90 peratus kawasan di pedalaman di negeri ini akan mendapat liputan internet yang lebih baik selepas pembinaan menara telekomunikasi baharu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat menara telekomunikasi sementara di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah SKMM Negeri Kedah, Azhar Abdul Rahman.

Menara telekomunikasi sementara setinggi 30 meter itu dibina oleh SKMM dan pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama, U-Mobile untuk liputan 3G dan 4G kepada penduduk di kawasan radius seluas dua kilometer.

Malah, menara telekomukasi bernilai lebih RM500,000 yang menggunakan Multi-Operator Core Network (MOCN) itu merupakan yang pertama digunakan di Semenanjung Malaysia yang menggabungkan empat syarikat penyedia perkhidmatan iaitu U Mobile, Celcom, Digi dan Maxis. 

Mingguan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan setelah sekian lama berhadapan dengan masalah akses internet, penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, Kampung Kongsi 14  mengambil inisiatif membina ‘menara’ telekomunikasi mereka sendiri. 

Kawasan estet kelapa sawit tersebut terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar ini didiami kira-kira 189 orang penduduk.

 Wan Romani memberitahu, SKMM dan pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga akan menaik taraf liputan kira-kira 1,162 menara telekomukasi yang sedia ada di negeri ini.

“Pembinaan menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf liputan tersebut akan dapat memberi manfaat liputan internet yang lebih baik kepada penduduk bagi tujuan pembelajaran, keusahawanan dan bekerja dari rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN