MELAKA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan pemasangan meter pintar membabitkan keseluruhan 380,000 pemegang akaun di negeri ini akan lengkap dalam tempoh enam bulan.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Retail TNB Melaka, Khairizam Ibrahim berkata, hanya tinggal sembilan peratus atau 40,000 pengguna yang masih menggunakan meter konvensional setakat ini.
Menurut beliau, sehingga kini sudah 340,000 pemegang akaun telah menikmati kelebihan menggunakan meter pintar tersebut sejak aktiviti pertukaran bermula kira-kira dua tahun lalu.
“TNB sedang berusaha melengkapkan baki sembilan peratus pemasangan meter pintar di seluruh Melaka dan kita mensasarkan dapat menyelesaikannya menjelang pertengahan tahun depan.
“Kita juga merayu dan menyaran pengguna di Melaka yang masih belum membuat penukaran meter pintar agar memberi kerjasama kepada pasukan TNB yang ditugaskan untuk kerja-kerja itu,” katanya pada Sesi Ramah Mesra TNB Bersama Media Melaka di Menara TNB di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairizam berkata, penggunaan meter pintar lebih bermanfaat kepada pengguna kerana bacaan penggunaan yang lebih tepat berbanding meter konvensional.
“Malah, ketika negeri-negeri lain menerima jumlah aduan yang tinggi kononnya terdapat peningkatan kegunaan elektrik secara mendadak pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, Melaka tidak berdepan masalah itu.
“Ini kerana penggunaan lebih 90 peratus meter pintar membolehkan bacaan penggunaan tepat dilakukan seperti biasa kerana pembacaan meter hanya dilakukan melalui sistem TNB tanpa perlu ke rumah-rumah pengguna,” katanya.
Sementara itu, TNB memaklumkan operasi di ibu pejabat negeri dari Banda Kaba akan berpindah sepenuhnya ke Menara TNB di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) berkuat kuasa 4 Januari ini.
“Bagaimanapun, kita masih meletakkan kakitangan di Banda Kaba serta kios pembayaran layan diri untuk memudahkan pelanggan membayar bil sehingga 30 Jun tahun depan.
“Malah, kita menggalakan orang ramai yang ingin berurusan dengan TNB boleh melakukan secara atas talian melalui portal myTNB atau aplikasi daripada telefon pintar masing-masing,” katanya. – UTUSAN