KEMAMAN : Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) Bhd. hari ini mengagihkan bantuan kewangan dan barangan dapur kepada 100 nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Ketua Pegawai Strategiknya, Noor Tuah Jaafar berkata, sumbangan menerusi program EPIC Cakna membabitkan peruntukan sebanyak RM15,000 itu bertujuan meringankan beban golongan tersebut yang terkesan akibat musim tengkujuh.
“Program hari ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan terjejas pendapatan.
“Setiap nelayan menerima bantuan RM100 wang tunai manakala RM50 lagi berupa barangan keperluan dapur termasuk minyak masak, beras dan gula,” katanya kepada pemberita dalam program EPIC Cakna dan Prihatin Edisi Khas Nelayan 2020 di Dewan Sivik Kijal di sini.
Sementara itu, seorang penerima, Azman Ibrahim, 51, berkata, bantuan tersebut akan digunakan bagi perbelanjaan harian keluarga kerana sudah beberapa minggu tidak turun ke laut.
“Kalau hujan dan ombak kuat, saya memang tidak turun ke laut kerana keadaan bot gentian kaca yang kecil dan berisiko.
“Sepanjang tempoh itu saya akan membantu isteri membuat kuih untuk dijual di kedai-kedai dan jika cuaca cerah dan ombak tidak kuat, barulah saya turun ke laut semula,” katanya yang sudah 20 tahun menjadi nelayan.
Nelayan, Samsuri Ahmad, 73, yang berasal dari Bandung, Indonesia bersyukur kerana pertama kali terpilih menerima bantuan selepas 17 tahun menjadi nelayan di Kemaman.
“Ini merupakan bantuan pertama yang saya dapat dan saya berterima kasih atas keprihatinan pihak EPIC.
“Untuk bulan ini kami sekeluarga tidak perlu membeli barangan dapur dengan bantuan yang diberikan manakala wang tunai boleh digunakan untuk perbelanjaan bulan depan,” katanya yang sudah 38 tahun bermastautin di Malaysia. -UTUSAN ONLINE