JEMPOL: Sebanyak 10 buah rumah di Felda Lui Timur dekat sini dikenakan kuarantin sepenuhnya kerana kesemua isi rumah tersebut merupakan kontak rapat bagi 12 kes positif Covid-19 di Felda berkenaan setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, selain 12 kes positif tersebut, terdapat satu kes positif di Ayer Hitam dan satu kes Serting Tengah dan kesemua kes berkenaan disahkan semalam selepas saringan dijalankan.
“Setakat ini, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol telah mengenal pasti 134 orang kontak rapat yang berkaitan dengan kes tersebut dan telah diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah masing-masing mulai 9 Disember 2020.
“Susulan itu, 10 buah rumah di Felda Lui Timur dikenakan kuarantin sepenuhnya kerana kesemua isi rumah tersebut merupakan kontak rapat. Semua yang diarahkan menjalani kuarantin tersebut tidak dibenarkan untuk keluar masuk dari rumah mereka dan keperluan harian akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Syahrul Nizam, bagi mengawal risiko penularan, Jawatankuasa Bencana Daerah telah melaksanakan Kawalan Khas Kawasan di Felda Lui Timur kerana bilangan kes dan kontak kes yang ramai.
Menurutnya, beberapa langkah segra juga telah dan akan diambil seperti pemantauan dan rondaan oleh pasukan polis berkala di rumah yang terlibat.
“Sekatan Jalan Raya (SJR) juga dilaksanakan di pintu masuk Felda Lui Timur dari tempoh 11 Disember 2020 hingga 21 Disember 2020 selain proses disinfeksi dan nyahkuman di rumah kes yang terlibat serta premis-premis yang dikenalpasti,” katanya.
Tambahnya, situasi semasa adalah terkawal oleh itu penduduk dinasihatkan untuk kekal tenang serta mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk pengurusan Felda dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -UTUSAN ONLINE