1.6 juta penjawat awam diseru bantu pelancongan domestik - Utusan Malaysia

1.6 juta penjawat awam diseru bantu pelancongan domestik

AMMAR Abd. Ghapar (kanan), Pengarah Urusan Columbia Leisure, Jason Ow Yeang (dua kiri), dan Pengarah Urusan Avani Sepang, Yogeswaran Veerasamy (kiri) ketika melawat di kawasan sekitar Avani Sepang Goldcoast Resort pada Majlis Jom Makan Angin & Support Lokal di Avani Sepang Goldcoast Resort, Bagan Lalang di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sektor pelancongan tempatan digesa menawarkan pelbagai insentif khas bagi menarik lebih 1.6 juta penjawat awam membantu dalam memulihkan pelancongan domestik.

Malahan, Tourism Malaysia sedia bantu pihak industri terbabit dalam penganjuran kempen tertentu untuk menggalakkan ramai kakitangan kerajaan banyak bercuti di dalam negara.

“Kita fokus kelompok ini kerana paling kurang terkesan akibat impak wabak Covid-19,” kata Pengarah Kanan Domestik dan Acara, Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar.

Terdahulu, beliau mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zulkifli Md. Said melancarkan kempen Jom Makan Angin dan Support Lokal di Avani Sepang Gold Coast Resort di sini.

Kempen khas ini menawarkan cabutan hadiah bertuah keseluruhan bernilai RM45,000 bagi pembeli baucar hotel itu termasuk kereta, televisyen, telefon pintar dan jam tangan pintar.

Dalam sidang akhbar, Ammar menjelaskan, penjawat awam di negara ini bertuah kerana turut ditawarkan pakej istimewa bersempena Kempen Cuti-Cuti Malaysia sejak 3 September lalu.

“Mereka diberi tumpuan kerana tidak seperti pekerja swasta yang ada dibuang kerja, dipotong gaji atau cuti tanpa gaji, kakitangan kerajaan masih ada kerja dan gaji macam biasa,” katanya.

Pakej khas itu dengan kerjasama Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menawarkan insentif diskaun sehingga 25 peratus bagi penginapan hotel di seluruh negara.

Malah, mereka juga menikmati potongan harga 60 peratus bagi premis pelancongan tertentu selain perlepasan cukai pendapatan sehingga RM1,000 di bawah pakej rangsangan Penjana.

Justeru, Ammar melihat potensi dapat dijana daripada penjawat awam itu sendiri sebagai bentuk tanggungjawab sosial korporat agar mereka bantu kerajaan memulihkan ekonomi.

“Kerajaan sedar ramai pemain industri pelancongan tempatan terjejas teruk kerana selama ini ada hanya mengharapkan pelancong asing sehingga ada terpaksa tutup operasi,” katanya.

Keadaan itu ujarnya, ternyata kerugian besar kepada negara selain ramai kehilangan kerja dan beri kesan kepada ekonomi domestik yang banyak bergantung perbelanjaan pengguna.

Pada masa sama, beliau berharap tiada pihak mengambil kesempatan memperdayakan orang ramai yang mahu bercuti dengan menawarkan pakej palsu atau promosi tidak wujud.

Setakat ini tegas Ammar, kebanyakan aduan pengguna lebih melibatkan penipuan harga oleh agensi pelancongan tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Manakala lebih 5,000 agensi yang berlesen dengan kerajaan didapati masih lagi berdisiplin walaupun kita akui sektor pelancongan tempatan rugi RM45 bilion akibat Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya