1.5 juta peluang pekerjaan diwujudkan - Utusan Malaysia

1.5 juta peluang pekerjaan diwujudkan

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai tenaga mahir sebagai profesion pilihan menerusi pelbagai program Latihan Pendidikan Vokasional Teknikal (TVET).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ia turut berdasarkan unjuran bagi permintaan tinggi lepasan TVET yang kini diterajui sektor perindustrian di seluruh negara.

“Dianggarkan sekitar 60 peratus atau sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan dijangka diwujudkan dalam masa terdekat yang memerlukan ramai pekerja berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan secara maya perutusan sempena Hari Profesion Teknikal Negara 2020 dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.

Sambutan tahunan itu yang ditetapkan setiap hari Sabtu minggu pertama bulan Disember diraikan warga kerja teknikal sebagai penghargaan atas jasa dalam pembangunan negara.

Mengulas lebih lanjut, Mohd. Zuki menambah, kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion melalui Belanjawan 2021 bagi tujuan latihan semula dan peningkatan kemahiran.

“Ini kerana kerajaan sedar permintaan tinggi daripada pihak industri yang amat memerlukan ramai pekerja berkemahiran selain menyasarkan kepada tahap kecekapan produktiviti buruh,” katanya.

Beliau memberi contoh kejayaan pembinaan Istana Negara baharu, Institut Kanser Negara, Lebuh Raya Pantai Timur fasa 2, naik taraf Hospital Kuala Lumpur dan banyak lagi projek.

Malahan Mohd. Zuki mendedahkan, statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga Jun lalu menyaksikan sebanyak 1.145 juta individu memohon perjawatan berkaitan teknikal.

Ujarnya, 95 peratus daripada pemohon itu berusia antara 18 hingga 35 tahun bagi mengisi 44,229 peluang pekerjaan dalam Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Fakta ini disokong data guna tenaga diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku ketiga 2020 lalu melaporkan 179,000 kekosongan jawatan dalam bidang teknikal,” kata beliau.

Daripada jumlah itu, 55 peratus perjawatan melibatkan pekerja separuh mahir dan 22 peratus untuk pekerja mahir, bahkan beliau menjangka permintaan akan melonjak pada masa depan.

Setakat ini, berdasarkan komposisi perjawatan teknikal yang diisi, Malaysia jelasnya hanya mempunyai 5.2 juta pekerja separuh mahir manakala dua juta pekerja berkemahiran penuh.

Justeru, beliau menyeru golongan belia agar segera merebut peluang dalam bidang teknikal sekali gus menyumbang usaha kepada pembangunan aneka projek prasarana awam negara.

“Saya juga amat menghargai jasa dan pengorbanan anda yang tinggi nilainya kerana anda adalah wira serta aset negara sejajar tema kali ini iaitu Masa Depan Adalah Kita!” tegasnya.-UTUSAN ONLINE

TAMAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya