‎Pengorbanan pasukan barisan hadapan amat dihargai - PM - Utusan Malaysia

‎Pengorbanan pasukan barisan hadapan amat dihargai – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, para petugas kesihatan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran setiap hari bagi memastikan setiap seorang rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik walaupun sehingga berkorban nyawa.

Malah, beliau amat sedih dengan berita kemalangan maut yang mengorbankan dua petugas barisan hadapan iaitu pemandu dan jururawat dari  Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang, semalam.

“Saya dimaklumkan kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk melakukan  pemeriksaan kesihatan berkala di perkampungan Orang Asli.

“Inilah pengorbanan para petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan yang lain kepada bangsa dan negara. Saya serta pihak kerajaan amat menghargainya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri pada masa sama mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd.  Zuhairi Abdullah dan Allahyarhamah Julayha Kudus.

Muhyiddin turut berdoa agar pegawai perubatan, Dr. Muhd Ikhwan Ramlee yang cedera dalam kemalangan itu dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan diberikan kekuatan dan kesembuhan.

“Saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.

“Saya doakan semoga roh kedua-duanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi semalam, kenderaan pacuan empat roda milik PKD Pekan itu dirempuh sebuah lori tangki yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

Nahas tiga kenderaan itu berlaku di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin dekat Kampung Tanjung Batu, Pekan.

Lori berkenaan merempuh kenderaan dinaiki mangsa yang maut serta sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN