Wujud sindiket WBB jadi 'orang tengah' - Annuar - Utusan Malaysia

Wujud sindiket WBB jadi ‘orang tengah’ – Annuar

Annuar Musa bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan lesen perniagaan kepada Usahawan Muda Kota Wilayah Persekutuan Putrajaya di Tapak Food Truck Presint 14, di sini, hari ini. UTUAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Belum pun cukup seminggu pelaksanaan skim Wilayah Bebas Berniaga (WBB), ada pihak tidak bertanggungjawab cuba jadi sindiket kononnya mahu menjaga kawasan tertentu.

Perkara yang agak mengejutkan itu didedahkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui media selepas meninjau tapak kenderaan saji Putrajaya.

“Saya dapat maklum balas ada semacam sindiket yang macam orang tengah sengaja mahu menetapkan kawasan tertentu untuk mengawal peniaga WBB di ibu negara,” katanya kesal.

Beliau malah berkata, pihak terbabit berebut-rebut pilih kawasan strategik dan mendakwa konon peniaga itu kena berurusan dengan mereka jika mahu mendapatkan lokasi tersebut.

Sedangkan, individu yang berminat hanya perlu memohon lesen sementara selama enam bulan itu terus daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa sebarang bayaran.

“Tak payah guna orang tengah, apa yang penting pihak Majlis Perwakilan Penduduk akan selaras lokasi sesuai bagi mengelak kesesakan dan memudahkan pemantauan,” katanya.

Annuar turut memberi peringatan bahawa WBB bukan bermaksud bebas berniaga di mana sahaja kerana ada peraturan antaranya bukan di jalan protokol dan kawasan parkir kereta.

Beliau berharap peniaga juga mematuhi prosedur operasi standard termasuk tidak letak gerai rapat dengan gerai lain susulan masalah pandemik Covid-19 masih belum terkawal lagi.

“Jika sudah ditemui vaksin, saya yakin bulan puasa tahun depan, tentu akan ada balik Bazar Ramadan dan ramai peniaga dapat manfaat untuk persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.

Terdahulu, Annuar hadir menyampaikan surat tawaran kepada 66 usahawan dalam pelbagai kategori termasuk WBB di Tapak Dataran Niaga Belia Putrajaya, Presint 14 di sini hari ini.

Sebagai inisiatif tambahan, peniaga di tapak itu dikecualikan bayaran sewa bulanan selama enam bulan dan kemudian hanya bayar RM150 sebulan sepanjang tahun pertama beroperasi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya