Wujud ibu-ibu negeri ‘kalah’ capaian internet - Utusan Malaysia

Wujud ibu-ibu negeri ‘kalah’ capaian internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jika ada berpendapat, para penduduk di ibu-ibu negeri paling bertuah kerana dikatakan paling tinggi peratusan capaian Internet, namun, kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mungkin dapat mengubah tanggapan itu.

Menerusi laporan My Local Stats 2019 yang diedarkan baru-baru ini, hanya isi rumah di Seremban, Negeri Sembilan dan Kangar, Perlis boleh berbangga dengan capaian tertinggi.

Selain itu, warga Putrajaya pula melakar sejarah apabila 100 peratus penduduknya memiliki capaian internet berbanding jirannya, Kuala Lumpur (98 peratus) dan Labuan (96.9 peratus).

Berdasarkan dapatan terkini DOSM itu melalui kajian dijalankan tahun lalu, Perlis yang tidak ada daerah sebaliknya mempunyai mukim merekodkan capaian isi rumah untuk khidmat internet pada 88.2 peratus.

Sementara Seremban pula 93.4 peratus jauh meninggalkan jirannya, daerah Port Dickson (89.2 peratus), Tampin (86.1 peratus), Rembau (80.4 peratus) dan Jempol (79.4 peratus).

Laporan DOSM itu menyenaraikan hanya lima daerah terbaik capaian internet bagi setiap negeri kecuali negeri terkecil iaitu Perlis selain Melaka yang memang cuma ada tiga daerah.

Di negeri itu, Alor Gajah unggul dengan 97.9 peratus diikuti ibu negerinya, Melaka Tengah (93.7 peratus) dan jiran mereka, Jasin (87.1 peratus). Senario sama juga di Pulau Pinang.

Daerah Timur Laut di tempat terakhir (93.4 peratus) di bawah Barat Daya (95.5 peratus), Seberang Perai Utara (95.9 peratus), Selatan (96.3 peratus) dan Tengah (96.5 peratus).

Di Sabah, Kota Kinabalu tiada dalam senarai teratas dikuasai Lahad Datu (97 peratus), Tawau (91 peratus), Kunak (86 peratus), Semporna (85 peratus) dan Penampang (84 peratus).

Turut catat perkara sama ialah Perak apabila ibu negerinya daerah Kinta tiada dalam senarai yang sebaliknya diterajui Muallim diikuti Manjung Perak Tengah, Kerian serta Larut Matang.

Manakala ibu negeri lain yang berada di kedudukan kedua tertinggi ialah Kuala Terengganu (94 peratus) di belakang jirannya iaitu daerah terkecil dan terbaharu Kuala Nerus (96 peratus).

Begitu juga tetangganya, Pahang apabila ibu negeri Kuantan di tempat kedua dengan cuma meraih 88 peratus, di belakang daerah peranginan popular, Cameron Highlands (90 peratus).

Situasi sama di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu apabila catat tempat kedua (86.8 peratus) di belakang daerah jajahan terpencil tetapi paling besar saiznya, Gua Musang (89.2 peratus).

Turut catat situasi sama ialah ibu negeri Johor, Johor Bahru apabila berada di tempat kedua dengan 95.3 peratus di belakang jirannya, daerah baharu Kulai yang catat 97.8 peratus.

Ada ibu negeri di tempat keempat antaranya Kota Setar di Kedah (92 peratus) jauh diatasi Langkawi tempat pertama (94 peratus) diikuti Kulim dan Pokok Sena (berkongsi 92.9 peratus).

Turut berada di tempat keempat ialah ibu negeri Sarawak, Kuching (96.3 peratus) yang diatasi oleh Bahagian Bintulu (97.7 peratus), Samarahan (96.9 peratus) dan Miri (96.8 peratus).

Uniknya, ibu negeri Selangor, Shah Alam pula yang diletakkan DOSM sebagai kawasan dua daerah berbeza iaitu Petaling dan Klang berada masing-masing di tempat kedua dan kelima.

Di negeri itu, daerah Sepang yang terkenal dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merekodkan capaian isi rumah terhadap akses internet paling tinggi iaitu 99 peratus. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN