PUTRAJAYA: Kementerian Luar menasihatkan pelajar Malaysia yang menuntut di Taiwan agar sentiasa berhati-hati selain berwaspada dan menjaga keselamatan diri masing-masing.
Ia susulan kes kematian seorang penuntut negara ini, Irene Chung yang berasal dari Sibu, Sarawak dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibuang di kawasan dekat Alian, Kaohsiung.
Pihak berkuasa Taiwan sudah memaklumkan Kementerian Luar mengenai pengesahan identiti mangsa yang merupakan pelajar tahun tiga di Universiti Christian Chan Jung di Tainan.
“Wisma Putra menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta sedia menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada keluarga mendiang,” kata kenyataan itu hari ini.
Media Taiwan melaporkan, mangsa hilang pada 28 Oktober lalu sebelum mayatnya ditemui keesokan hari dan suspek, warga tempatan, dikenali Liang, 28, mengaku menjerut Irene.
Kementerian Luar ujarnya, melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Taiwan bagi tujuan tersebut.
Kenyataan itu menambah, pelajar dan juga rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mendaftarkan diri dengan pusat berkenaan yang merupakan misi perwakilan rasmi negara kita di Taiwan.
Malaysia tiada hubungan diplomatik secara formal dengan Taiwan kerana isu pertikaian dengan China sejak 1974, namun dianggarkan ada hampir 32,000 warga Malaysia di pulau itu. -UTUSAN ONLINE