Wisma Putra bantu lonjak harga minyak sawit - Utusan Malaysia

Wisma Putra bantu lonjak harga minyak sawit

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji akan memastikan Wisma Putra terus bantu kementerian berkaitan demi memperkukuh industri sawit negara.

Beliau menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook dirinya, turut mengucapkan syukur apabila harga buah tandan segar dan minyak sawit mentah terus melonjak ke paras tertinggi.

“Alhamdulillah, harga meningkat kebelakangan ini dan memanfaatkan lebih 500,000 pekebun kecil, keluarga serta komuniti setempat, khasnya era pandemik serba mencabar ini,” katanya.

Hishammuddin turut memaklumkan ada beberapa rakan Facebook beliau turut berkongsi isu peningkatan harga yang tinggi itu disebabkan pertambahan pembelian dari negara tertentu.

Bahkan beliau sendiri diberitahu oleh Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengenai faktor permintaan yang besar daripada pihak China dan India.

“Ini selari hasil pertemuan saya dengan Menteri Luar China, Wang Yi pada awal Oktober yang membawa persetujuan pembelian 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia hingga 2023,” jelasnya.

Beliau turut mengulangi komitmen Wisma Putra memanfaatkan hubungan dengan India yang kembali pulih untuk Malaysia meningkatkan eksport minyak sawit ke negara berkenaan pula.

Justeru beliau berterima kasih kepada Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar kerana mengurangkan duti import minyak sawit Malaysia daripada 37.5 peratus kepada 27.5 peratus.

“Insya Allah, keputusan ini dijangka menambah jumlah eksport produk tersebut ke India, sekali gus mampu meningkatkan lagi harga minyak sawit di negara kita,” tambah Hishammuddin.

Beliau menerusi hantaran itu turut memaklumkan telah menyuarakan kepada wakil Kesatuan Eropah agar berhenti diskriminasi dan seterusnya iktiraf Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia.

Pada masa sama, Hishammuddin memberi jaminan bahawa Wisma Putra juga akan terus berusaha yang terbaik demi kepentingan setengah juta pekebun kelapa sawit tempatan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya