Wira sempadan negara dinaikkan pangkat Sarjan, cadang beri pingat PGB - Utusan Malaysia

Wira sempadan negara dinaikkan pangkat Sarjan, cadang beri pingat PGB

ABDUL Hamid Bador (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada balu Koperal Baharuddin, Relow Ko, 48, sambil diperhartikan oleh bapa mendiang, Ramli Derus, 75 ketika hadir memberikan penghormatan terakhir pada majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Air Hitam, Bandar Seri Jempol, Jempol, Negeri Sembilan hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: “Bertempur sehingga kehabisan peluru.”

Keberanian dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditembak di sempadan negara sehingga salah seorangnya terkorban ketika bertugas di Tembok Sempadan (TS9) Padang Besar, Perlis kelmarin dihargai.

Ia apabila kedua-duanya dinaikkan pangkat Sarjan secara ‘posthumous’ atau anumerta berkuat kuasa semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, selain dinaikkan pangkat, pihaknya juga sudah mengetengahkan cadangan kepada kerajaan untuk memberikan penghargaan yang lebih tinggi berupa pingat keberanian kepada dua anggota berkenaan iaitu Mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 45 dan Koperal T. Norihan, 39.

Menurutnya, penghargaan berkenaan adalah disebabkan sifat-sifat keberanian luar biasa yang dimiliki dua anggota berkenaan.

“Kami mencadangkan kepada kerajaan supaya mendiang dan Norihan diberi bentuk penghargaan tertinggi seperti pingat Pingat Gagah Berani (PGB). Cadangan pemberian pingat itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin,

“Terpulang kepada kerajaan untuk memberikan penghargaan kepada mendiang Koperal Baharuddin dan Koperal T. Norihan dalam bentuk pingat keberanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberikan penghormatan pada majlis pengkebumian mendiang Koperal Baharuddin di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali.

Dalam pada itu, Abdul Hamid juga menegaskan pihaknya memberi jaminan untuk menjaga kebajikan keluarga mendiang.

Menurutnya, pihaknya juga sudah menyampaikan beberapa bentuk sumbangan antaranya insuran berkelompok, koperasi PDRM, Tabung Amanah Perwira, Tabung Kebajikan Bukit Aman dan sumbangan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam pada itu, menurutnya, Koperal T. Norihan juga kelihatan begitu bersemangat dan stabil ketika ditemui selepas selesai menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.

“Satu serpihan peluru menembusi usus dan doktor membuat keputusan untuk membuat pembedahan segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid menyatakan pihaknya memutuskan untuk membuat permohonan secara rasmi kepada Royal Thai Police supaya keempat-empat suspek yang ditangkap di Thailand akan diserahkan kepada PDRM.

Menurutnya, langkah berkenaan akan membolehkan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya