Wawa Zainal dan Ariel Zafrel sedia ambil tindakan - Utusan Malaysia

Wawa Zainal dan Ariel Zafrel sedia ambil tindakan

PEMILIK cap dagangan Wawa Cosmetics iaitu (Aeril Zafrel (tengah) dan Wawa Zainal dalam sidang akhbar mengenai produk menggunakan cap dagangan mereka di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Guna cap dagangan milik artis terkenal bagi mengelirukan dan menarik minat pengguna untuk membeli produk penjagaan kulit yang diiklankan sebagai produk asli di platform penjualan dalam talian.

Bagaimanapun, kegiatan yang beroperasi selama tiga tahun itu akhirnya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis yang merampas sebanyak 5,542 unit produk penjagaan kulit itu dengan nilai kira-kira RM210,596 dalam serbuan di sebuah premis di Taman Putra Utama, semalam.

Pengarahnya, Norazah Jaafar berkata,seorang lelaki tempatan yang berumur 31 tahun dipercayai pemilik perniagaan yang merupakan pengedar jenama tersebut telah ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu ialah 16 pekerja berusia 20 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, premis ini disyaki telah menggunakan cap dagangan tidak berdaftar pada produk penjagaan kulit muka yang dijual.

“Penjualan barangan ini dibuat melalui tiga cara iaitu ejen, tempahan biasa di premis perniagaan dan juga tempahan melalui portal jualan dalam talian di pasaran seluruh negara.

“Produk ini dijual antara RM30 hingga RM149 seunit dengan kos sebanyak RM10 sahaja. Dianggarkan, suspek memperoleh sekurang-kurannya RM684,000 hasil jualan produk, setiap bulan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat KPDNHEP Perlis di sini hari ini.

Sementara itu, Norazah berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Sementara itu, pemilik cap dagangan yang merupakan pasangan pelakon terkenal, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal memberitahu, pihaknya sudah menghantar notis yang meminta pemilik perniagaan itu menghentikan perbuatannya pada Januari tahun ini namun difahamkan mereka enggan berbuat demikian.

“Kami dapat aduan mengenai produk ini daripada pelanggan yang keliru dan menyangkakan ia dikeluarkan oleh Wawa Cosmestics.

“Walau bagaimanapun peniaga terbabit pun memberi kerjasama dengan baik. Kami tidak menolak kemungkinan untuk membuat perbincangan secara baik, namun jika mereka masih mahu menggunakan cap dagangan ini mungkin akan dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

 Tambahnya, Wawa Cosmetic didaftarkan pada 13 November 2018. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya