Warga tempatan, Orang Asli diutamakan kerja sektor perladangan - Utusan Malaysia

Warga tempatan, Orang Asli diutamakan kerja sektor perladangan

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sedang giat menjalankan kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia bakal melipat gandakan lagi usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dengan mengadakan kempen yang berterusan.

“Kementerian akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada warga tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja dalam sektor perladangan komoditi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, kerajaan amat memahami situasi dihadapi pihak industri berhubung isu itu susulan pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Beliau malahan menambah, pihak kementerian menyedari masalah kekurangan pekerja agak kritikal, bahkan dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

“Pada masa sama, keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi dan berpandangan larangan pekerja asing adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa,” katanya.

Justeru, Mohd. Khairuddin menegaskan bahawa pihaknya akan giat memperkasakan modal insan melalui siri latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Dalam waktu sama, pihak kerajaan sedang mempertimbangkan permit sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi bidang pekerjaan yang masih sukar lagi menarik minat rakyat tempatan.

“Kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan terus berusaha keras membantu sektor itu agar mendapatkan pekerja tempatan melalui kempen penggalakkan,” tegas beliau.

Mohd. Khairuddin pada masa sama berbesar hati penglibatan agensi pekerjaan untuk tampil membantu dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN