Warga Myanmar maut ditikam - Utusan Malaysia

Warga Myanmar maut ditikam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akibat cinta tiga segi, seorang tukang masak warga Myanmar maut dipercayai ditikam rakan senegara di Jalan Tempinis 1, Bangsar di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, mangsa berusia 40-an serta suspek dikatakan tidak berpuas hati sehingga berlakunya pergaduhan.

Mangsa kemudian disedari seorang lelaki yang terlihatnya berlumuran darah sebelum menghubungi ambulans.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat pergaduhan melibatkan beberapa lelaki termasuk mangsa dan suspek.

Beliau berkata, pihaknya turut menemukan hulu dan bilah pisau sepanjang 15 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

“Ketika kejadian mangsa hampir tidak sedarkan diri namun sempat diberikan rawatan awal oleh pihak ambulans dan terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun gagal diselamatkan.

“Susulan itu tiga warga Myanmar termasuk seorang wanita dan lelaki warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan. Kita juga sedang memburu suspek utama yang dikenali sebagai Khun Soe Aung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendapati mangsa mengenali teman wanitanya awal tahun ini dan bekerja di tempat sama di sebuah restoran di Bangsar sebelum menjalinkan hubungan cinta.

Katanya, bagaimanapun wanita tersebut didapati mempunyai hubungan sulit dengan suspek utama pada Mei tahun ini dan tinggal bersamanya sejak bulan lalu.

“Sebelum kejadian, suspek utama bersama wanita terbabit dan tiga lagi suspek minum arak di sebuah kedai pada sebelah paginya sebelum mereka dipercayai bertemu di taman permainan kanak-kanak di Jalan Tempinis 5 pada sebelah malam dan suspek utama memberitahu dia tidak berpuas hati dengan mangsa.

“Wanita itu kemudian membawa mangsa bertemu dengan suspek sebelum dia diserang dan ditikam sebelum kesemua suspek melarikan diri,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek utama diminta menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya