Warga emas maut dihempap pokok kelapa sawit - Utusan Malaysia

Warga emas maut dihempap pokok kelapa sawit

KEADAAN mangsa yang maut dihempap pokok kelapa sawit ketika menunggang motosikal di Ayer Tawar dekat Manjung hari ini. - GAMBAR JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang warga emas maut dihempap pokok kelapa sawit ketika menunggang motosikal di Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku di Lorong Wawasan 2 kampung berkenaan, mangsa, Mohd. Saleh Mat Ali, 69, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada tubuhnya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM) Perak berkata,  pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.25 pagi berhubung kejadian itu.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Sukairi Abd Latif ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, anggota bomba mendapati mangsa tersepit di antara pokok dan motosikal yang ditunggangnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian memotong pokok yang tumbang kepada potongan-potongan yang kecil sebelum memindahkannya ke tempat yang selamat.

Pada masa sama, jalan tersebut turut dibersihkan daripada sisa pokok yang tumbang itu bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Menurut beliau, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut selesai sepenuhnya pada pukul 8.41 pagi. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata,  mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat  bagi mengetahui punca kematian pada pukul 2.30 petang ini.

Beliau berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN