KUALA LUMPUR: Pakar Kebidanan, Kandungan dan Kesuburan, Dr. Navdeep Singh Pannu berpendapat, oleh kerana keadaan penularan wabak Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan, golongan wanita lebih mengutamakan soal pengurusan kewangan yang stabil akibat sektor ekonomi yang tidak menentu.
Ini sekaligus mempengaruh kepada kadar kelahiran bagi golongan wanita yang sudah berkahwin bagaimanapun, katanya, wanita bukanlah punca utama kepada penurunan kadar kelahiran di negara ini.
“Faktor kos sara hidup dan harga barangan keperluan lain yang semakin meningkat, mendorong golongan wanita berfikir masak-masak sebelum bersedia membina keluarga sendiri.
“Selain itu, saya merasakan punca penurunan kadar kelahiran adalah tabiat ataupun amalan pemakanan tidak seimbang selain golongan lelaki yang gemar merokok.
“Jika keadaan ini terus berlanjutan, ia tidak bagus untuk negara kerana populasi penduduk akan terjejas.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau dminta mengulas kenyataan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin yang menyatakan kadar kelahiran di negara ini sebanyak 5.9 peratus iaitu 116,434 kelahiran pada suku tahun ketiga tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu seramai 123,751 kelahiran.
Mengulas lanjut, Dr. Navdeep berkata, bagi memastikan penurunan kadar kelahiran tidak berlanjutan dalam masa beberapa tahun akan datang, beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan segera dengan memberi insentif atau insurans kesuburan serta percutian kepada pasangan yang baru berkahwin.
Antara lain, katanya, cukai pendapatan, kualiti pinjaman bank, lebih banyak klinik kesihatan serta pendidikan juga perlu dipertimbangkan agar tidak menjadi ‘penghalang’ kepada mana-mana pasangan dalam perancangan pembangunan keluarga.
“Jika kadar kelahiran ini merosot, impaknya kita tidak boleh menggantikan tenaga kerja baharu dan negara tidak akan dapat membangun dengan cepat malah kita akan terus bergantung dengan pekerja asing dari negara luar.
“Jika melihat negara-negara Eropah ataupun Jepun, kebanyakan penduduknya terdiri dalam kalangan warga emas yang menyebabkan produktiviti negara terjejas. Kerajaan terpaksa menanggung kos kehidupan mereka namun tidak memberikan pulangan kepada ekonomi negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE