Wanita dakwa sering diintai jiran ketika mandi - Utusan Malaysia

Wanita dakwa sering diintai jiran ketika mandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
  1. JOHOR BAHRU: Seorang wanita mendakwa jiran sering mengintainya ketika dia sedang mandi dalam kejadian yang berlaku di kawasan perumahan di Taman Setia Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 23 tahun pada dua hari lalu.

Katanya, itu merupakan kejadian kali kedua dialami pengadu yang telah menyewa kediaman berkenaan sejak dua bulan lalu.

“Pengadu membuat  laporan bahawa dia diintai ketika sedang mandi di tandas rumah sewanya kira-kira pada pukul 7.15 pagi.

“Dia menyedari perkara berkenaan selepas terdapat pergerakan orang di luar tandas melalui tingkap tandas yang sedikit terbuka ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Padzli, mangsa mengesyaki jirannya yang melakukan perbuatan itu kerana hanya suspek yang sudah bangun pagi ketika kejadian berlaku.

“Mangsa turut membuat rakaman video pergerakan suspek menggunakan telefon bimbit, namun, gambarnya tidak jelas,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek masih belum ditangkap dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, lelaki berusia 24 tahun menerima padah apabila berjaya ditahan polis berhubung kes tersebut.

Perbuatan itu dikatakan kali kedua dilakukan suspek di kawasan perumahan di Taman Setia Indah di sini.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN