BATU PAHAT : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menutup sementara kampus di sini selama lima hari sehingga 5 Disember ini berikutan terdapat penularan kes Covid-19 melibatkan warganya.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Wahid Razzaly berkata, pihaknya akan melaksanakan proses nyah kuman di kawasan yang terkesan di dalam kampus sepanjang tempoh tersebut.
“Peningkatan penularan di dalam kalangan komuniti yang berada di sekitar kampus telah menyebabkan beberapa kes mula dikesan masuk ke dalam kampus.
“Dalam usaha mengekang penularan wabak ini, kita seharusnya sedar kitalah merupakan ‘frontliners’ sebenar untuk melindungi diri kita, keluarga, rakan sekerja daripada ancaman wabak yang tidak mengenal mangsa.
“Kerjasama semua pihak adalah amat penting untuk kita melaksanakan segala daya usaha yang termampu untuk mengekang wabak ini bagi melindungi komuniti kecil yang kita kasihi ini,” katanya melalui perutusan khas dalam laman Youtube UTHM di sini hari ini.
Wahid berkata, ini bukanlah masa untuk menuding jari dan mencari salah sesiapa, sebaliknya perlu mengatur langkah dalam mencapai sasaran sifar Covid-19 di UTHM.
Beliau berkata, menyeru kepada semua staf UTHM agar sentiasa menjaga operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Sila pakai pelitup mulut dan hidung, jaga jarak dan sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang baik pada setiap masa.
“Kekal tenang dan duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Insya Allah dengan usaha ini, kita semua mampu memutuskan rantaian jangkitan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE