MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencipta sejarah baru apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kejohanan sulung e-Sport Uni League 2020 mengatasi saingan hebat daripada 67 institusi pengajian tinggi lain.
Kejohanan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bermula 30 Oktober lalu dan berlangsung selama tiga minggu dengan UTeM selaku tuan rumah bagi penganjuran kali ini.
Malah, kesemua acara dipertandingkan secara atas talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelak penularan dan jangkitan wabak Covid-19.
Antara acara yang dipertandingkan adalah Arena of Valor (AOV), Mobile Legend Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Player Unknown Battleground (PUBG Mobile), FIFA2020, PES 2020 dan Honor of King (HOK).
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, pasukan UTeM merangkul juara keseluruhan dengan membawa pulang piala pusingan kejohanan di samping tiga kejayaan lain iaitu juara bagi acara AOV, tempat ketiga bagi acara HOK dan tempat keempat bagi acara PUBG Mobile.
“Kejayaan ini menyerlahkan kecemerlangan mahasiswa universiti ini yang dikenali sebagai TUAH UTeM dalam arena sukan era masa kini yang telah mula mendapat perhatian ramai dari dalam dan luar negara.
“Kejohanan tersebut juga turut menjadi medan terbaik bagi mahasiswa memulakan langkah pertama ke dunia e-sukan pada tahap yang lebih tinggi atau profesional,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Selaku juara bagi kategori AOV, UTeM membawa pulang wang tunai RM3,000 bersama pingat, manakala bagi kedudukan tempat ketiga pula melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,000 bersama pingat dan tempat keempat pula turut menyediakan wang tunai RM500. -UTUSAN ONLINE