SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak menolak usul yang dibawa Ketua Pembangkang, Rizam Ismail, sebaliknya usul itu gugur dengan sendiri apabila tiada sokongan yang cukup daripada ahli dewan.
Yang dipertua DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, tiada isu bahawa dewan menolak usul dibawa blok pembangkang kerana perkara tersebut tidak lulus di peringkat cadangan.
Menurutnya, sebarang usul yang dibawa perlulah mendapat sokongan satu pertiga ahli dewan dan kemudian boleh dibahas.
“Sebarang usul dibawah Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Sidang DUN 1965 agar dewan mempertimbangkan semula keputusan dari Speaker, biasanya dibincangkan pada akhir persidangan, tetapi saya ingin bersikap adil dan membenarkan usul ini dibawa.
“Malah, tiada juga timbul isu sama ada saya yang mempengerusikan atau timbalan speaker kerana usul ini telah gugur kerana tidak mendapat sokongan,” katanya dalam sidang akhbar di Lobi Bangunan Annex di sini hari ini.
Terdahulu, blok pembangkang Selangor menyatakan kekesalan apabila Sidang DUN Selangor menolak usul berkaitan tatacara pakaian yang hanya membenarkan baju kebangsaan (baju melayu bersampin dan bersongkok) pada hari Jumaat sahaja.
Usul dibawa Ketua Pembangkang, Rizam Ismail di bawah Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Sidang DUN 1965 agar dewan mempertimbangkan semula keputusan dari Speaker.
Bagaimanapun, Suee Lim menolak usul dibawa Rizam kerana tidak mendapat sokongan ahli dewan yang mana hanya 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja menyokong berbanding 19 ahli atau satu pertiga sokongan diperlukan bagi sesuatu usul diluluskan.
Selain Rizam yang merupakan ADUN Sungai Air Tawar, sembilan lagi yang menyokong usul dibawanya ialah ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin; Zakaria Hanafi (ADUN Semenyih); Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (ADUN Sijangkang) dan Rosni Sohar (ADUN Hulu Bernam).
Turut menyokong usul tersebut ialah ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin; Haniza Talha (ADUN Lembah Jaya); Daroyah Alwi (ADUN Sementa); Muhammad Hilman Idham (ADUN Gombak Setia) dan Mohd. Shaid Rosli (ADUN Jeram). -UTUSAN ONLINE