TELUK INTAN: Upacara sembahyang sempena perayaan Deepavali di kuil di sini mematuhi norma baharu oleh masyarakat Hindu berikutan perintah kawalan pergerakan pemulihan bersyarat (PKPB).
Tinjauan di Kuil Seri Maha Mariaman, Jalan Changkat Jong di sini mendapati upacara sembahyang khas atau ‘pooja’ sempena Deepavali dilakukan dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Orang ramai yang mahu memasuki kuil menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.
Selain itu, pihak pengurusan kuil turut mengawal jumlah bilang orang ramai yang masuk ke dalam kuil iaitu maksimum 30 orang sahaja dibenarkan berada dalam rumah ibadat pada satu-satu masa.
Sami kuil berkenaan, B. Rajamani berkata, penganut agama Hindu berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan mereka bersembahyang di kuil pada pagi perayaan Deepavali.
Menurutnya, pihak pengurusan kuil melaksanakan SOP yang ketat kepada orang ramai yang mahu bersembahyang di kuil itu.
“Upacara sembahyang bermula pada pukul 7 pagi. Orang yang datang tidak sekaligus, ini memudahkah kami mengawal jumlah yang mahu bersembahyang.
“Walaupun sembahyang sempena perayaan Deepavali tahun ini tidak ramai, namun penganut agama Hindu dapat juga sembahyang setelah kerajaan memberikan kebenaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, kerajaan negeri mengumumkan semua rumah ibadat bukan Islam di negeri ini dibuka sepanjang tempoh PKPB.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, namun hanya maksimum 30 orang sahaja dibenarkan berada dalam rumah ibadat tersebut pada satu-satu masa.
Kata beliau, waktu beroperasi rumah ibadat adalah antara pukul 7 pagi hingga 10 malam.
Beliau berkata, aktiviti di rumah ibadat bukan Islam perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). -UTUSAN ONLINE