KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) menyediakan bantuan pelan data internet percuma kepada 7,900 pelajarnya yang dalam kalangan keluarga B40
Timbalan Naib Canselornya (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr. Hafizan Juahir berkata, pemberian sumbangan bernilai RM898,000 itu selaras usaha meringankan beban pelajar bagi menanggung kos mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.
Katanya, bagi fasa pertama hari ini seramai 3,900 pelajar lama dan baharu menerima manfaat tersebut dengan melibatkan kos sebanyak RM468,000.
“Pelajar menerima simkad Celcom E-Learning dan Unisza akan membiayai pelan pascabayar itu selama empat bulan.
“Bagi fasa kedua pula, Unisza bersetuju untuk memberikan bantuan pembelian data internet kepada 4,000 pelajar dalam bentuk tunai sebanyak RM120 setiap seorang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kad sim data Internet kepada pelajar B40 secara pandu lalu di pekarangan Dewan Al-Muktafi Billah Shah kampus itu di sini hari ini.
Menurut Hafizan, agihan bagi fasa kedua dijangka dilakukan pada awal tahun depan.
Katanya, pelan Celcom e-Learning 30 menawarkan kelajuan internet 3G dan 4G/LTE, akses tanpa had ke laman web dan enam aplikasi terpilih iaitu Microsoft Teams, Zoom Meeting, Skype, Google Meet, CISCO Webex dan YouTube.
Sementara itu, pelajar program Pengurusan dan Perancangan Harta, Nur Aisyah Ishak, 20, berkata, bantuan pelan data Internet percuma itu memberi kelegaan buatnya yang sering berdepan masalah memuat turun maklumat berkaitan P&P.
“Saya perlu memuat turun banyak fail untuk kesemua lapan subjek yang diambil pada semester ini. Lazimnya, nilai prabayar yang digunakan setiap bulan cuma RM20 tetapi jumlahnya meningkat kepada RM60 kerana saiz fail yang besar jadi dengan adanya data percuma secara tidak langsung meringankan beban kewangan saya,” katanya. -UTUSAN ONLINE