PASIR PUTEH : Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menyumbangkan sebanyak 300 unit peralatan perlindungan diri (PPE) bersama pelindung muka kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan.
Majlis penyerahan disempurnakan Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMK, Prof. Ir. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini.
Sumbangan tersebut diterima Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob.
Yang turut hadir, Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Penjara Mat Yaacob dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Dr. Hanisa Hassan.
Menurut Ahmad Ziad, set PPE tersebut dihasilkan menerusi projek UMK Care Kit dan direalisasikan hasil bantuan geran pembangunan inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan SME Corp Malaysia.
Katanya, set PPE itu diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anggota Maritim Malaysia sebagai petugas barisan hadapan yang menjaga keselamatan perairan negara.
“Anggota Maritim Malaysia memerlukan PPE ketika mengendalikan nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara. Ini penting bagi memastikan perlindungan mereka daripada ancaman Covid-19,” katanya.
Menurut Dr. Ahmad Ziad, projek diketuai Dr. Hanisa Hassan turut mendapat kerjasama beberapa pihak termasuk antaranya Penjara Pengkalan Chepa, Hospital Raja Perempuan Zainab II serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan.
“Kelmarin UMK turut menyerahkan sumbangan sebanyak 1,000 unit pelindung muka kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk diagihkan kepada anggotanya yang bertugas sepanjang PKPB,” katanya.-UTUSAN ONLINE