Tutup jalan bagi jalankan siasatan kes bunuh - Utusan Malaysia

Tutup jalan bagi jalankan siasatan kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Susulan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh, polis bertindak menutup laluan di Jalan Bangsar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, lelaki berusia 30-an dan tiada sebarang pengenalan diri bersamanya ditemukan terbaring di atas jalan raya berkenaan oleh orang awam dalam keadaan cedera serta tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin@Hilmi berkata, ekoran itu pihaknya kemudian bergegas ke tempat kejadian sebelum lelaki tersebut disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Katanya, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati mangsa mempunyai kecederaan di beberapa bahagian anggota badan dipercayai menggunakan senjata tajam.

“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif kejadian selain dalam usaha mengesan waris mangsa selain latar belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zairulnizam, mayat mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa dan mempunyai ahli keluarga yang hilang boleh menghubungi pihak polis di talian 03-22979222 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN